Friday, January 27, 2012

PENCURI WAKTU

Menerusi akaun facebook miliknya, seorang teman telah bersungut panjang. Teman itu bersungut panjang sambil melahirkan rasa tidak puas hati yang amat sangat.

Tapi sebenarnya dia rasa tidak puas hati tu bukannya pasal apa pun.

Dia rasa tidak puas hati semata-mata kerana pejabat tempat dia bertugas mengadakan kelas agama pada hari Jumaat, yang bermula dari pukul 3.00 sehingga 4.00 petang.

“Kita ni penjawat awam yang dibayar gaji oleh kerajaan dengan menggunakan duit rakyat pembayar cukai. Mengapakah waktu yang sepatutnya kita sedang menjalankan tugas, telah diguna untuk aktiviti lain seperti menghadiri kelas agama? Mana yang lebih penting? Apa pendapat kawan-kawan semua?”

Saya cuma menggelengkan kepala.

“Haru sungguh Minah sekor ni,” bisik saya sendirian sambil membaca satu persatu komen yang diberikan oleh kawan-kawannya.

Benarlah tekaan saya.

Semua kawannya pun macam dia jugaklah, dua kali lima. Semuanya menyokong saja. Tak satu pun yang memberikan pendapat yang berbeza dari sifir dua kali lima, yang sedang mereka baca.

Entah kenapa tiba-tiba saya jadi gatal tangan. Saya terus menongkah arus untuk mengomen beginilah lebih kurang :

“Mak Cik. Kalau kita bershopping kat Globe masa waktu pejabat, tak sorang pun yang bersungut…. Kan kan kan!….”

Saya rasa komen saya itu biarpun membuatkan telinga jadi berdesing, tapi amat berfakta. Bukannya pasal apa, saya teringat kembali ketika masih berkhidmat di sektor awam dulu, yakni di zaman muda-muda.

Waktu dulu kalau hari Jumaat, kakitangan perempuan yang sama brand macam teman saya itu terutamanya, akan melompat sakan.

Ketika kami kaum lelaki belum pun pergi kemasjid untuk bersolat Jumaat, selalunya kebanyakan kakitangan perempuan termasuklah teman saya itu sudah pun selamat mendarat di Globe Silk Store.

Dan acara mingguan yang bersifat marathon yang mereka lakukan itu, selalunya bermula seawal pukul 11 pagi.

Woish… cukup cepat!

Kemudian lebih kurang pukul 3 petang, barulah mereka terhegeh-hegeh masuk semula kepejabat.

Tapi selalunya mereka bukannya balik secara lenggang kangkung atau pun balik dengan tangan yang kosong.

Dengan peluh melekit berbau hapak satu badan, selamba mereka menolak pintu pejabat sambil membawa masuk segala jenis ‘mak nenek’ yang macam-macam ada, seolah-olah semuanya itu taukeh Globe kasi percuma.

Dan sebagaimana yang dijangkakan juga, teman tersebut segera bingkas untuk menyanggah komen perli yang saya buat.

Dia menjawab macam nilah lebih kurang :

“Helo helo… Tu bukan saya ye. Dulu saya orang semekin, mana mampu shopping kat Globe.”

Saya pun tak pasti samada dulu teman saya tu benar-benar semekin sebagaimana yang didakwanya.

Bukannya apa. Orang semekin selalunya makan semekut, tapi yang saya nampak dia selalu bantai nasik dengan tempe.

Dah lama benar saya tak bertemu semula dengannya. Rasa rindu pun ada.

Kalau dulu dia semekin, mungkin sekarang ni dia dah pun kaya raya. Mungkin sekarang dia dah duduk kat rumah banglo yang besar bagak, siap ada kolam renang bersaiz Olimpik di dalamnya.

Samada sekarang dia kaya atau kayap, itu urusan dia. Itu dia punya pasal. Tapi apabila agama dijadikan sebagai alasan, saya rasa cukup kesal.

Mungkin pada benaknya, tempoh selama 1 jam yang dikhaskan untuk menghadiri kuliah agama pada waktu pejabat sebagaimana yang dianjurkan, begitu merbahaya sekali kerana produktiviti boleh terencat, negara kucar kacir serta menjurus ke ambang kemuflisan.

Mungkin baginya juga, pendekatan keagamaan jika ingin diterapkan kedalam diri seorang penjawat awam adalah sebagai tidak penting, atau sekadar membuang masa, atau amat tidak menguntungkan, kerana berperanan menghalang kemajuan kepada mereka.

Atau mungkin juga yang sedang berada di dalam kepalanya ialah : yang lebih penting atau yang lebih berfaedah ialah terus-terusan merapu serta saling berpesan-pesan menerusi laman sosial facebook, tak kira masa, tak kira tempat.

Ini adalah kerana apabila saya menyemak tarikh dan masa beliau berposting, saya dapati dia melakukan aktiviti tersebut pada waktu pejabat!

Tuesday, January 24, 2012

HANYA KERANA SEBIJI BOLA

Permainan baru berusia beberapa minit apabila Serbegeth Singh terpaksa dikejarkan kehospital akibat dirempuh dengan kasar oleh pemain pertahanan pihak lawan yang bernama Mohd. Ramlee.

Edisi final bolasepak Piala Malaysia itu akhirnya berkesudahan dengan Kuala Lumpur sekali lagi berjaya menewaskan pasukan Kedah.

Dan sebagai seorang penyokong Kedah, saya rasa sakit hati. Saya rasa sakit hati kerana pasukan yang saya sokong telah kalah.

Sewaktu upacara penyampaian hadiah pula, Serbegeth yang tadinya tercedera, juga turut kelihatan. Dengan penuh semangat kesukanan, dia menjulang piala yang menjadi kemegahan itu dalam keadaan kepala yang masih berbalut.

Sekali lagi sebagai seorang penyokong Kedah, saya rasa sakit hati. Sekali lagi saya rasa sakit hati kerana bukannya pasukan yang saya sokong sedang berada di podium menjulang piala.

Saya melangkah longlai meninggalkan perkarangan stadium yang masih riuh rendah. Saya menunggu bas di Lebuh Ampang untuk balik kerumah.

Malam makin larut.

Di Lebuh Ampang, kenderaan bersimpang siur. Itu membuktikan Kuala Lumpur tidak pernah mengantuk atau tidak pernah tidur.

Seketika kemudian, saya ternampak sebuah bas persiaran yang sarat membawa penyokong pasukan Kedah sedang berhenti sebentar. Mungkin destinasi bas itu ialah Alor Setar.

Bas itu berhenti sebentar kerana lampu isyarat berwarna merah.

Ketika itulah saya terlihat sekumpulan remaja penyokong Kuala Lumpur kelihatan sedang mengejek-ngejek penumpang bas tersebut.

Seorang Pak Cik tiba-tiba bergegas turun dari perut bas.

Dengan muka yang bengis dia mengejar kumpulan remaja itu yang bertempiaran melarikan diri.

Menyaksikan tindakan orang tua itu, hilang segala rasa sakit hati yang tadinya bersarang di dalam dada. Kali ini timbul rasa malu pula.

Itulah bolasepak. Bolasepak membuatkan manusia buta, hilang pertimbangan serta hilang kewarasan.

Itu semua cerita lama.

Untuk musim ini pula, saya masih lagi menyokong Kedah sebagaimana sebelumnya.

Saya masih menyokong Kedah, sebagaimana saya menyokong Kedah di zaman Mohd. Ramlee merempuh Serbegeth Singh sehingga menghadiahkan balutan pada kepalanya.

Benar, musim ini saya rasa agak kecewa apabila menyaksikan persembahan longlai kesebelasan Kedah ketika bersabung di gelanggang, di awal saingan. Mengharungi sebanyak 4 perlawanan tanpa menang, atau tanpa mampu menjaringkan gol, adalah detik yang begitu menyakitkan.

Walau bagaimanapun, saya rasa lebih kecewa apabila menyaksikan tindakan segelintir penyokong yang meminggirkan kewarasan serta peradaban yang sepatutnya ditatang.

Bolasepak sepatutnya menyatukan, bukannya memisahkan.

Mungkin mereka menganggap diri mereka terlalu ultra, untuk mewajarkan mereka bertindak sehingga di luar batas susila. Mungkin mereka menganggap diri mereka terlalu ultra, sehingga berani mencatur atau menentu segala.

Mencetuskan kekecohan di perkarangan stadium semata-mata kerana pasukan yang disokong kalah sambil berpekik terlolong menggesa individu tertentu meletakkan jawatan, membuktikan bahawa bolasepak membuatkan manusia buta, hilang pertimbangan serta hilang kewarasan.

Apakah mereka tidak mahu belajar dari sejarah silam?

Lupakah mereka yang sebelum ini pun memang sudah ada individu yang berjaya diusir dari jawatannya, tetapi akhir sekali apakah hasilnya?

Dan jika pun permintaan mereka tertunai, apakah itu jaminan untuk Kedah menyapu semua piala yang ada?

Melihat gelagat seperti itu, saya rasa amat malu.

Saya rasa amat malu, berbanding amat malu apabila melihat gelagat Pak Cik yang dulunya pernah mengejar dengan bengis sekumpulan penyokong lawan yang berani mengejek.

Kini Pak Cik itu mungkin semakin tua atau sudah tidak berdaya lagi.

Walaupun dalam versi yang berbeza, tetapi ruang kosong yang ditinggalkan oleh orang tua itu, kini seperti sudah pun berjaya diwarisi.

Thursday, January 19, 2012

KEMUNCAK TERINDAH

Alangkah manisnya kalau ikatan dua sejoli yang terjalin, akhirnya termetrai di jinjang pelamin.

Detik bersejarah sebegitu adalah merupakan kemuncak terindah yang mewarnai episod sebuah percintaan.

Dalam perlawanan bolasepak pula, kemuncak terindah juga ada, tetapi dinukilkan dalam versi yang agak berbeza.

Dalam perlawanan bolasepak, setiap kali kita menyaksikan bola bergolek tak kiralah samada laju ataupun perlahan, tetapi masuk menggegar jaring pasukan lawan, secara automatik kita juga akan berasa terangsang.

Rangsangan itu bolehlah disifatkan sebagai ‘kemuncak orgasma’ yang cukup istimewa. Wabak pelik tersebut hanya melanda keatas diri peminat bolasepak sahaja.

Saya pun merupakan seorang peminat bolasepak, macam anda juga.

Malangnya menonton perlawanan bolasepak yang disiarkan secara langsung di kaca TV baru-baru ini, sedikit pun tidak membuatkan saya berasa terangsang.

Malam itu, walaupun dalam keadaan amat bersedia, tetapi sampai kesudah ‘kemuncak orgasma' yang dikatakan cukup istimewa itu, tidak berlaku keatas diri saya.

Itu bukanlah sesuatu yang pelik, kerana saya ada dalil paling muktabar untuk menyanggah segala jenis kepelikan, jika ada.

Betapa tidak, malam itu saya dapati corak permainan sebuah ‘pasukan yang kita sokong,’ begitu lembik ketika bersaing. Malam itu juga tidak ada bola yang menerjah jaring.

Kelembikan tersebut begitu ketara lagi kronik, sehingga seperti tidak mampu untuk disembuhkan oleh sebarang penawar atau mana-mana doktor yang ada di dunia.

Dan apabila wisel panjang ditiup, sebagai penyokong, saya rasa sedikit ‘teruja.’

Betapa tidak, malam itu rekod kebal tanpa menang ‘pasukan yang kita sokong’ setelah mengharungi 3 perlawanan, telah berjaya dikekalkan dengan amat selamba.

Bukan terhenti setakat itu, keselambaan tersebut turut diiringi dengan satu lagi catatan rekod gemilang yang amat sukar untuk dipecahkan : iaitu tidak berdaya menggegar jaring pasukan lawan.

Ini bermakna keinginan para penyokong untuk berasa terangsang jadi terbantut, apatah lagi untuk membolehkan mencapai ‘kemuncak orgasma,’ yang selama ini diidam-idamkan oleh mereka semua.

Malam itu keadaan padang yang kelihatan begitu teruk, nampak amat bersesuaian benar dengan prestasi teruk ‘pasukan yang kita sokong.’

Seakan ada keserasian pula di antara 2 elemen tersebut, yang nampaknya secocok serta saling bantu membantu. 2 elemen tersebut saling tak tumpah persis bulan dan bintang, juga bagaikan irama dan lagu.

Jumaat nanti ‘pasukan yang kita sokong’ itu akan berentap lagi. Jadi menjelang hari tersebut, berbagai persoalan bermain di minda :

Apakah mereka mahu berubah atau sekadar menadah tangan bersyukur dengan apa yang dikecapi sekarang?

Atau apakah mereka berjaya melebarkan rekod yang dipegang iaitu tanpa menang atau tanpa mampu menggegar jaring pasukan lawan, biarpun sudah memasuki perlawanan yang ke 4?

Atau apakah Jumaat nanti mereka akan bangkit untuk menukar skrip perlawanan, sekaligus buat pertama kali membangkitkan keghairahan kita para penyokong untuk berasa terangsang?

Atau apakah juga Jumaat nanti untuk julung-julung kalinya kita akan mencapai ‘kemuncak orgasma yang terindah,’ yang selama ini diidam-idamkan oleh semua?

Saturday, January 14, 2012

NAMA BESAR, KUASA BESAR & SILAP BESAR

Abbas Saad, Alistair Edward, Scott Ollerenshaw, Karek Stromsik, Jang Jung, Olubunmi Adigun dan Marlon Alex James.

Sekadar menyebut beberapa nama, nama-nama di atas adalah di antara sebilangan pemain import yang pernah mewarnai persada sukan bolasepak di Malaysia. Kelibat mereka ketika berada di atas padang begitu menghiburkan, juga mampu meninggalkan impak yang cukup besar sehingga menjadi sebutan.

Menariknya, tidak seorang pun di antara pemain-pemain yang saya sebutkan di atas adalah berasal dari negara Brazil, yang merupakan sebuah kuasa besar bolasepak di dunia.

Jika kita rajin menyingkap kembali sejarah silam iaitu bermula sejak FAM membuka pintu untuk membenarkan pemain import beraksi di liga tempatan sampailah sekarang, nescaya kita akan dapati pemain yang berasal dari Brazil yang ingin mencuba nasib di sini, ternyata gagal menyerlah.

Rata-rata mereka tidak mampu untuk memberikan persembahan menakjubkan sebagaimana yang diharapkan, tidak berpadanan dengan label nama besar negara mereka, yang disandang.

Ketika di sini, mereka ibarat produk yang langsung tidak berkualiti.

Benar, mana-mana pasukan negeri atau pun kelab di Malaysia tidak akan mampu untuk mengimport pemain-pemain yang memiliki kepakaran setaraf Pele, Socrates, Ronaldinho atau pun Neymar.

Pemain-pemain sehebat itu terlalu berharga, apatah lagi untuk mampu dimiliki oleh sebuah pasukan yang mengamalkan perbelanjaan berhemah seperti kita.

Lagi pun berdasarkan kekangan yang menghalang, mewajarkan kita untuk berbelanja sekadar mengikut kemampuan.

Kita pun tangkap muatlah mana yang sempat, asalkan ada. Janji berasal dari Brazil, itu sudah memadai buat kita.

Selalunya apa yang disemai, itulah yang kita tuai.

Bersesuaian dengan pelaburan berskala kecil lagi murahan, aksi hambar sebagaimana yang disajikan terutama oleh pemain negara samba yang telah ditangkap muat itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Di atas padang, mereka seolah-olah datang dari sebuah benua yang langsung tidak mengenali apatahlagi memahami sukan bolasepak. Mereka hanya tahu berlari, menanduk dan kemudiannya menyepak.

Malahan tidak keterlaluan kalau dikatakan kadang-kala pemain tempatan jauh lebih menyerlah berbanding mereka.

Untuk mengelakkan kudis bertukar menjadi barah, saya ingin mengesyorkan agar mentaliti yang selama ini menjadi amalan di kalangan segelintir pengamal sukan bolasepak di Malaysia, perlulah segera diubah.

Sebagai contoh : jika selama ini iaitu sewaktu diberi mandat untuk memilih mana-mana pemain import bagi menyarung jersi pasukan negeri atau pun kelab, pilihan pertama kita selalunya lebih terarah kepada dari negara manakah pemain itu berasal.

Jika yang datang mencuba nasib itu berasal dari negara kuasa besar bolasepak dunia seperti Brazil contohnya, nah, secara automatik mulut kita akan ternganga. Pada penglihatan kita, mereka semuanya adalah jelmaan Pele, Socrates, Ronaldinho atau pun Neymar di mana ‘kehebatan’ mereka bakal diaplikasi ke Liga Malaysia.

Kita tidak menyedari langsung yang kita mungkin telah membuat kesilapan. Kita sanggup mengenepikan pegangan yang sepatutnya menjadi asas, sebelum membuat pilihan.

Sikap negatif seperti itulah yang mendorong kita untuk tidak terlebih dahulu menghalusi secara teliti lagi profesional akan kualiti atau tahap sebenar mutu permainan mereka, sebelum mereka dipilih untuk menyarung jersi pasukan kita.

Ingatlah, jika kita memilih pemain yang gagal, jangan sekali-kali menyalahkan orang lain di atas kegagalan sepasukan. Salahkanlah diri sendiri kerana kitalah sebenarnya yang menjadi punca lantaran gagal dalam memikul amanah yang telah diberikan.

Kitalah yang dengan rela hati telah membuka ruang kearah membentang apa yang boleh disifatkan sebagai hamparan karpet merah yang bernama kegagalan. Hasilnya, pasukan kita berpeluang cerah untuk tidak menggapai puncak kejayaan.

Lebih teruk lagi, kita juga akan gagal memenuhi hasrat para peminat yang selama ini tidak jemu-jemu berada di belakang untuk menyokong pasukan kesayangan.

Sesungguhnya biarpun punya kuasa, tetapi kita bukanlah sesiapa, tanpa riuh rendah atau gempita penyokong.

Atau mahukah nanti sebagai hukuman, pasukan yang kita pimpin sekadar bermain di stadium yang kosong?

Wednesday, January 11, 2012

LIMA RINGGIT DUA KUPANG LIMA DUIT

Entah kenapa sejak akhir-akhir ni tiba-tiba saja saya amat rajin menulis. Kerajinan itulah yang mendorong saya untuk lebih kerap mengupdate blog ini untuk tatapan anda para peminat sekalian, cewah.

Dah pernah saya katakan dulu, saya jadikan bidang penulisan sebagai sesi terapi minda. Bila minda sihat, badan pun cergas. Bila badan cergas, macem-macem boleh buat.

Lagi satu nak royat, bukan nak cakap besarlah. Saya sebenarnya boleh buat duit dengan menulis, kalau duitlah yang jadi buruan. Tapi sayangnya saya menulis bukan kerana duit, apatah lagi kerana nama.

Saya boleh tulis novel sebijik macam yang ada berlambak kat pasaran, kalau saya mahu.

Tapi sayangnya jugak, saya lebih selesa berada di sini, bergelumang di dalam Tong Sampah ini walaupun kadang-kadang saya macam orang meroyan yang cakap sorang-sorang sebab tak ada sorang pengkomen pun yang datang nak mengomen apa yang saya catatkan.

Tapi itu semua bukanlah masalah pokok. Ada orang suka mengomen. Ada pulak yang lebih suka meromen.

Sebenarnya bagi saya bukanlah susah sangat nak tulis novel, terutamanya novel cinta. Cakap besar tu tak naklah. Senang banget gitu, seneng kaceng.

Plot sebuah kisah cinta amatlah mudah untuk digarap. Macam nilah lebih kurang :

A suka kat B, tapi B suka kat C.

Konflik cinta antara A, B dan C semakin bercelaru kerana tiba-tiba muncul pulak D. D pengaruh orang tua B supaya dia dipilih jadi menantu. Ayah C pulak dah ada calon lain iaitu E. Manakala emak A berkenan kat F iaitu anak kepada kawan lamanya G, sepupu H.

Di sebabkan novel tu agak tebal macam buku panduan telefon, jadi alphabet terakhir iaitu Z pun berpeluang jugaklah untuk membuat penampilan.

Gitulah lebih kurangnya.

Saya pun pusing sana, pusing sini, cetus konflik sana, cetus konflik sini. Itu semua adalah semata-mata untuk bikin pembaca fenin kapla. Lagi pusing, lagi fenin, lagi baik.

Babak ‘kebetulan’ jugak mesti ada.

Tu acara wajib tuh. ’Kebetulan’ apa-apa punlah. Bukannya apa, kalau tak ada bab ‘kebetulan,’ nampak macam tak lengkap. Tak lengkap macam pi buat umrah tapi tak mau sa’e.

Lagi satu, gaya bahasa atau teknik penceritaan mesti liuk lentuk bunga-bunga. Ada madah, perlambangan dan kias ibarat. Maklom sajalah, kisah cintalah katakan. Itu jam, tengok tahik pun nampak macam bulan.

Jugak biollah saya kalau saya lupa nak selit babak pantai. Bukannya apa, kalau ada ombak, ada pantai, huh, adalah rindu. Tu semua pelengkap tu.

Saya pun dodoilah pembaca dengan kisah cinta rewang serabai yang mengkhayalkan sebegitu. Saya khayalkan mereka seperti orang yang sedang memberi candu. Kalau ikut trend terkini, candu itulah yang mereka mahu.

Kalaulah saya mampu mendisiplinkan novel yang bakal saya tulis nanti dengan menepati acuan yang hadam sebagaimana tabiat kelaziman, saya gerenti buahtangan saya itu akan mendapat sambutan hangat di kalangan peminat tempatan.

Silap-silap haribulan, novel tu jadi best seller dan meletup-letup gitu. Silap-silap haribulan jugak, kemudiannya tertubuhlah saya punya fanclub, yang fungsinya saya sendiri pun tak tahu.

Oleh kerana nama Fakur ni taklah seglamer mana untuk menggamit minat pembaca, jadi saya kenalah fikir jugak untuk tukar ke nama lain, macam penulis lain. Alah, ke nama yang glamer-glamer sikit bunyinya walaupun takde sebarang makna, sebab itu jugak adalah salah satu kehendak semasa.

Cis, sayangnya tak terdetik langsung di fikiran ini biar secubit beras sekali pun untuk menjerumuskan diri kelembah penulisan novel. Biarlah bidang yang sudah sesak itu hanya disesakkan oleh penulis lain, bukannya diri saya. So, please count me out…

Dan kerana saya bernama Fakur juga, maka saya lebih senang bergelumang di Tong Sampah ini. Jangan bimbang para peminatku, cewah, kalau ada masa terluang Fakur akan terus mengetuk papan kekunci sambil menyembunyikan identiti, tetapi tidak pernah untuk menyembunyikan sebuah kesungguhan.

Oh ya, sikit hari lagi saya akan jadi seorang jutawan.

Sejak giat berblogging bermula tahun 2008, sekarang ni akaun nuffnang saya dah semakin membiak. Yabedabedu nak habag bagi, sekarang ni dah ada duit sebanyak ‘lima ringgit dua kupang lima duit’ di dalam akaun nuffnang milik saya.

Huh, baaaanyak tu!

So, sapa kata tulis blog tak boleh buat duit?

Sunday, January 8, 2012

MERC MATA BELALANG

Sistem SBPA sebagaimana yang dihebohkan baru-baru ini jelas menyerlahkan ciri-ciri yang agak kabur.

Tentunya yang paling terasa akan tempias kekaburan itu ialah mereka yang bertugas di kumpulan sokongan, yang merupakan antara penyumbang terbesar untuk sektor awam.

Jika skim ini diteruskan juga tanpa sebarang rombakan semula, ianya sekadar berpotensi untuk melahirkan jurang yang begitu ketara. Betapa tidak, berbanding orang lain, terdapat kakitangan yang bakal ‘menikmati’ kenaikan gaji hanya beberapa puluh ringgit sahaja.

Dalam beberapa aspek, skim ini juga dilihat menawarkan layanan yang lebih istimewa kepada pegawai atasan, terutamanya dari kumpulan Jusa. Mereka jelas lebih beruntung kerana meraih kenaikan gaji yang berganda.

Sebagai contoh jika gaji seorang pegawai Jusa C sebelum ini ialah sebanyak RM9000 sebulan tidak termasuk elaun, selepas pelarasan, gaji yang akan mereka terima ialah lebih kurang sebanyak RM15000 sebulan tidak termasuk elaun.

Mungkin selepas ini mereka bolehlah berkira-kira untuk meninjau Merc mata belalang.

Carta organisasi juga akan kelihatan agak pelik dan janggal.

Sebagai contoh, sebelum ini di sektor awam terdapat jawatan Juruteknik Tingkatan Biasa, Juruteknik Tingkatan Khas serta Juruteknik Tingkatan Tertinggi.

Tetapi dengan adanya SBPA, semua penyandang untuk jawatan tersebut dilonggokkan di dalam kumpulan yang sama. Ini bermakna tiada lagi perbezaan dalam bentuk kekananan jawatan di kalangan mereka.

Ketidaksamaan di dalam pengagihan yang tidak setara pernah disindir oleh seniman P. Ramlee secara halus.

“Ini tidak adil. Aku tipu!” kata watak di dalam filem klasik Nujum Pak Belalang.

Mungkin penggubal skim SBPA ini tidak begitu sensitif untuk berlaku lebih adil kepada semua penjawat awam, tidak sebagaimana watak di dalam filem tersebut yang tidak segan untuk mengakui yang dirinya tidak berlaku adil.

Atau mungkin juga keadilan itu telah hilang kerana bersembunyi di sebalik Merc mata belalang!

BUDAK SURUHAN

Malam itu saya menonton pertandingan akhir MLM tanpa sebarang nafsu.

Malam itu sekali lagi ramalan saya menjadi kenyataan. Bukannya pasai apa, malam itu saya tengok sekali lagi ada lelaki yang dibapukkan.

Dan malam itu jugak sekali lagi kekurangan fizikal seseorang menjadi bahan lawak untuk sama-sama diketawakan.

Tahniahlah kepada yang menang malam itu.

Kepada yang kalah tu pulak cuba lagilah tahun depan. Jangan susah hati. Anda bukanlah yang terburuk, kerana yang menang sebenarnya bukanlah yang terbaik.

Dan apabila duit hadiah kemenangan itu dikhabarkan akan diguna oleh pemenangnya untuk membaiki teksi yang selama ini menjadi sumber pendapatan bagi menyara keluarga, perasaan ini jadi sedikit tersentuh.

Sememangnya begitulah. Ramai yang senang. Dan ramai yang susah.

Ramai jugak di kalangan kita hanya tahu nak ketawa. Tetapi berapa ramai pulakah di kalangan kita yang berusaha untuk menyingkap rahsia di sebalik rahsia?

Kalau saya tak silap, salah seorang pelawak yang beraksi malam tu pernah menuntut di sebuah sekolah berasrama di Pulau Pinang. Itu kalau saya tak silaplah. Kalau saya tersilap, maafkanlah saya.

Masa belajar di sekolah tersebut, dengar cerita dia selalu kena buli. Sebagai contoh, dia selalu disuruh oleh pelajar senior lelaki untuk pergi berjumpa dengan pelajar perempuan yang lawa sikit sambil berkata :

“Kak, abang tu kirim salam. Dia nak jumpa!”

Dalam bahasa yang mudah, dia selalu dijadikan budak suruhan.

Di sekolah tersebut juga, dia dilantik menjadi presiden persatuan Bahasa Melayu. Tetapi dalam exam, dia kantoi dalam subjek itu. Ha ha ha…

Masa masih bujang, saya pernah tinggal di Seri Rampai. Dia pulak di Setapak Jaya. Saya tinggal dengan kawan-kawan, dia pulak tinggal dengan adiknya.

Kalau ada masa lapang, dia selalu datang melepak di rumah saya. Selalunya dia datang dengan menunggang basikal lumba.

Kadang-kadang tu saya terserempak dengannya di gerai Kak Esah yang terletak di medan selera.

Kalau terserempak dengannya, selalunya saya buat-buat tak nampak. Bukannya apa, naik seganlah pulak. Maklum sajalah dia tengah top waktu itu. Pendek kata, namanya sedang meniti di puncak.

Itu dulu.

Hari ini ramai kawan-kawan sekelasnya yang dulu pernah belajar bersama-sama ataupun yang pernah bergotong royong membulinya, kini sudah jadi orang besar-besar. Ada yang jadi pakar teknokrat, ada yang jadi ahli birokrat, dan ada yang jadi tokoh korporat.

Ada yang memiliki firma sendiri. Tak kurang juga ada pula yang jadi orang penting atau pegawai tinggi kerajaan di sektor awam, yang berperanan mengepalai sesebuah jabatan.

Dan pelajar perempuan yang dulunya lawa, yang dulunya sering dikirimsalamkan, kini dah tak lawa lagi. Walau bagaimanapun dalam ketidaklawaan, sekarang mereka jugak tak kurang hebat. Ada yang jadi pakar teknokrat, ada yang jadi ahli birokrat, dan ada yang jadi tokoh korporat.

Bagaimana tentang dia pula?

Dengan paras rupa yang tidak seberapa, dia memilih untuk terus menjadi seorang pelawak. Lagipun dunia lawak tanah air amat memerlukan seorang pelawak yang memiliki paras rupa yang tidak seberapa, macam dirinya.

Betapa kontotnya pemikiran kita.

Kekontotan itulah yang menolak bab bakat jauh ketepi, kerana paras rupa yang tidak seberapa itulah yang dicari-cari untuk dijadikan sebagai indeks penentu sekaligus memenuhi spesifikasi yang diperlukan bagi mencatat nama sebagai seorang pelawak di Malaysia.

MLM sudah pun berakhir.

Tetapi bagi dirinya pertarungan untuk terus hidup tidak pernah berakhir, malahan tidak akan berakhir. Dan undian SMS atau pun komen juri sama sekali tidak membawa sebarang makna untuk membantu menolak suratan takdir.

Selamat berjaya sahabat!