Thursday, November 24, 2011

SEBUTIR PINGAT EMAS

Saya sedang dalam perjalanan menuju ke Pulau Pinang ketika kenderaan yang dinaiki tiba-tiba sahaja rosak di tengah jalan.

Cuaca di luar panas pulak tu.

Dengan memakai sepasang baju Melayu, bersamping serta bersongkok, saya pun keluarlah dari kereta.

Kemudian saya ikut membantu dengan menolak kenderaan yang tiba-tiba sahaja rosak itu, sehinggalah enjinnya dapat dihidupkan semula.

Gara-gara kerosakan yang berlaku, rombongan kami tiba kedestinasi hampir satu jam terlewat dari yang sepatutnya.

Sebenarnya, hari tersebut adalah hari pernikahan saya. Itu bermakna hari tersebut merupakan hari terakhir saya menggalas label selaku seorang bujang, untuk ditanggalkan buat selama-lamanya.

Majlis kenduri di sebelah pihak saya selang 2 hari kemudian, telah berlangsung dalam suasana yang begitu ringkas.

Di hari tersebut tidak ada pukulan kompang, tidak ada kek bertingkat-tingkat, dan juga tidak ada majlis persandingan, yang meriahnya bagai nak rak.

Tapi bab bersanding tu, bersandinglah jugak. Pendek kata bersanding buat syarat saja, untuk saudara mara tengok.

Saya masih ingat lagi.

Pada hari yang bersejarah itu, ada 2 buah kerusi diletakkan di bawah pokok manggis.

Saya dan isteri saya pun bersandinglah di bawah pokok manggis tersebut. Kami bersanding tanpa tukang kipas yang berdiri di sisi, untuk mengipaskan kami. Panasnya janganlah cerita.

Pada hari yang bersejarah itu jugak, saya memakai sepasang baju Melayu, bersamping serta bersongkok. Sebenarnya pakaian itu adalah err….. pakaian yang sama, iaitu yang telah saya pakai semasa saya menolak kenderaan yang tiba-tiba saja rosak, 2 hari sebelum itu.

Pakaian isteri saya pun ringkas juga, saya perasan. Jauh sekalilah ianya mencecah harga berjuta-juta, yang sampaikan pihak Muzium Negara pun berkenan tengok, langsung nak pinjam buat pameran.

Sekarang ni sekali sekala balik ke kampong, dengan bangganya saya pun tunjuklah kat anak-anak, pokok manggis tempat ayah dan ibu mereka pernah bersanding.

Sekarang ni pokok manggis itu semakin tua, macam tukang tunjuk jugaklah, tetapi ia masih kekal di sana. Kalaulah mampu berkata-kata, tentu sekali ia akan bercerita kepada anak-anak kami betapa di hari berbahagia dahulu, orang tua mereka pernah bersanding di bawah rimbun redupnya.

Isnin lalu adalah merupakan hari ulangtahun kami disatukan.

Rupa-rupanya bersanding di bawah pokok manggis tanpa tukang kipas berdiri di sisi, atau tanpa pukulan kompang, atau tanpa perlu memotong kek bertingkat-tingkat, atau sepasang baju Melayu yang diulangpakai dalam tempoh yang singkat, atau pun pakaian pengantin perempuan yang cukup ringkas, yang harganya taklah mencecah berjuta-juta sampaikan pihak Muzium Negara pun berkenan tengok langsung nak pinjam buat pameran, adalah merupakan formula bikinan kami untuk memanjangkan usia perkahwinan.

20 tahun yang lalu, saya seperti mendapat sebutir ‘pingat emas,’ yang nilaiannya tiadalah tandingan.

Sesungguhnya bagi saya 20 tahun adalah tempoh yang panjang, tetapi terasa amat pendek kerana dicantas oleh jalur kebahagiaan.

4 comments:

cikpia said...

20 tahun? wow!!

selamat ulangtahun! semoga kekal lagi 20 tahun akan datang dan akan datang dan akan datang. amin~~~~

oranglidi said...

mmg lama tu.. bahagia nampaknya en.fakur sekeluarga ya?

betullah formula yang en.fakur gunakan itu.. sperti mana dianjurkan agama kita juga. itulah yg diberkati.

sama dgn abang sy punya prkahwinan baru2 ni. ala kadar je.

junegenie said...

yang penting barakah.. selamat ulangtahun ke 20!! semoga kebahagian terus menggebu buat semua..!

Fakur said...

cikpia :
terima kasih. tiba masa jangan lupa utk ucapkan ucapan yg sama kpd orang tua anda juga ok.

oranglidi :
saya tak fikir formula tu sesuai dengan zaman sekarang. apa pun sebaik2 perkara ialah bersederhana dalam tingkah laku, tutur kata & perbuatan tetapi rakus di dalam mengerjakan amalan. tahniah sbb dapat kakak ipar.

junegenie :
terima kasih. saya doakan semuga puan dikurniakan zuriat.