Pada suatu hari seseorang telah datang mengetuk pintu bilik isteri saya. Sebenarnya dia datang untuk menyerahkan sendiri kad jemputan perkahwinan, di samping sempat pula meluahkan rintihan :
“Emak dan ayah berpisah sewaktu saya dalam Darjah 6. Selepas kedua orang tua bercerai, kami adik beradik tinggal dengan emak. Sejak itulah kami terputus hubungan dengan ayah kerana dia tak pernah pun datang menjenguk kami, apatah lagi untuk menghulurkan nafkah”
“Bila nak mendirikan rumahtangga pula, ayah enggan jadi wali. Saya kena naik turun Pejabat Agama. Saya terpaksa ikut prosedur iaitu mengiklankan berita perkahwinan saya di dalam suratkhabar, dengan harapan ayah akan menukar fikiran.”
“Disebabkan kesuntukan masa, Pegawai di Pejabat Agama juga menasihatkan supaya tarikh perkahwinan kami tidak dicetak terlebih dahulu di dalam kad jemputan. Dia suruh tunggu dulu, iaitu biarlah selepas mahkamah membuat keputusan”
“Sebab itulah kalau Puan tengok pada kad jemputan ni, tarikh perkahwinan tu cuma dicop dengan rubber stamp saja. Errrr… Nanti jemputlah datang ya!”
Sebagai seorang Ketua Jabatan, isteri saya sering menjadi tempat rujukan bagi kakitangan bawahannya. Mereka terutamanya kakitangan wanita, ada yang datang untuk mengadu bukan setakat berkaitan masalah tugasan, malahan kadangkala untuk berkongsi hal-hal yang bersifat peribadi.
Tapi tak salah kat merekalah. Mungkin hanya orang perempuan sahaja yang cukup memahami perasaan orang perempuan.
Sesungguhnya memenuhi sesuatu undangan selagi tidak bercanggah dengan syarak, adalah amat dituntut agama.
Jadi menepati tuntutan tersebut, bila tiba saja tarikh sebagaimana yang tercatat di dalam kad undangan, kami sekeluarga pun menyongsong kealamat yang tercatat.
Kami sekeluarga pergi kesana untuk sama-sama meraikan disamping untuk turut memeriahkan lagi saat-saat berbahagia sepasang mempelai yang ditabal sebagai Raja sehari.
Pagi itu nampaknya pekan Sungai Buloh, Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sekinchan serta Sungai Besar bermandi hujan. Jadi saya terpaksalah memandu dengan perlahan.
Mendekati Sabak Bernam, hujan sudah teduh.
Kenderaan yang dipandu kemudiannya membelok kekiri, sekaligus mematuhi arahan anak panah yang tertera pada ranting bunga manggar yang dipancang di simpang jalan.
Deretan khemah-khemah serta tetamu yang kelihatan sedang berpusu-pusu keluar dan masuk, adalah merupakan petunjuk paling jelas, untuk mengesahkan bahawa akhirnya kami selamat tiba juga kedestinasi yang dituju.
Untuk sampai kerumah pengantin pula, kami terpaksa berjalan kaki melalui lorong kecil yang becak serta berlopak.
Saya mengatur langkah dengan berhati-hati, takut-takut kasut Camel yang baru dibeli terpijak lumpur, nanti nampak kotor pulak.
Di pelamin, sepasang pengantin sedang bersanding. Pukulan kompang berdentung-dentang bergema membingitkan suasana.
Isteri saya turut menyibuk. Dia mengambil kesempatan untuk merakam detik bersejarah anak buahnya, sementara saya pula terus menuju ke khemah untuk menjamu selera.
Selesai menjamu selera, kami menghampiri pasangan pengantin tersebut yang sedang bersantap di meja utama.
“Selamat Pengantin Baru,” ucap saya sambil menghulurkan tangan kepada pengantin lelaki.
Tanpa berkata apa-apa, dia menyambut huluran tangan itu sambil tersenyum malu.
“Tadi yang sambut abang tu, ayah pengantin perempuankah?” soal saya sewaktu kami berada semula di dalam kereta.
“Taklah. Tu Pak Cik dia!” sambut isteri saya.
Jawaban itu membuatkan saya jadi terdiam.
“Cis, hamlau sungguh. Sampai kesudah bapak dia tak datang. Ni bukan bapak. Ni jenis kepala bapak!” carut saya di dalam hati. Tapi saya pasti carutan itu tak siapa pun yang dengari.
Kenderaan yang dipandu terus meluncur laju biarpun berbekalkan kabur pandangan. 4 roda yang berputaran, saling bekerja keras membantu kami menyongsong jalan pulang.
Di dalam kereta, semuanya diam. Semuanya tidak berkata apa-apa.
Mencuri pandang kebahagian belakang, anak-anak kelihatan sibuk dengan urusan masing-masing. Ada yang sedang membelek-belek bunga telur. Ada yang sedang melayani MP3. Ada yang sedang berbalas SMS dengan kawan-kawan. Dan tidak ketinggalan, ada juga yang hanya melontar pandangan di kejauhan.
Ya, anak-anak itu akan dewasa dan terus dewasa. Mereka akan beralih dari fasa kefasa.
Entah kenapa tiba-tiba peralihan itu menyingkap sedikit rasa takut.
Sejujurnya sebagai bapa, saya takut jika tembok kejahilan terus menakluk serta menguasai diri ini, akal ini dan fikiran ini, sehingga tidak mampu untuk berlari laju, seiring peredaran masa yang turut sama memacu laju.

1 comments:
ini sangat deep pakcik
seriyus deep
fuh!
Post a Comment