Semasa masih bayi dahulu, Kakak digelar Ahmad Albab.
Kakak digelar Ahmad Albab bukanlah kerana dia mewarisi harta karun macam kisah dongeng di dalam filem klasik yang dihasilkan oleh seniman agung P. Ramlee itu.
Kakak digelar sedemikian kerana dia suka menangis, macam juga watak di dalam filem tersebut yang menggunakan jodol yang sama.
Orang tua-tua kata, Kakak terkena penyakit sawan tangis. Hai, menangis pun ada sawan-sawan ke?
Entahlah!
Bagi mengatasi masalah tersebut, mereka menyuruh saya pergi mencari siapa-siapa yang berketurunan Tengku untuk dijadikan sebagai ibu atau ayah angkat kepada anak saya itu. Kata mereka lagi, kalaulah saya dapat mencari, hah, itu jam barulah penyakit Kakak dapat diubati.
Tapi saya mengingkari segala saranan mereka itu. Bagi saya, itu semua adalah mengarut serta langsung tak masuk akal.
Lagi pun manalah saya ada kenal mana-mana Tengku untuk dilantik sebagai ibu atau ayah angkat kepada anak saya. Kalau ada pun, sudikah mereka?
Lagi satu, kalau setakat tungku kat dapur tu, mungkin adalah. Itu pun jauh kat kampung.
Tapi orang kampung sekarang dah advance apa. Sekarang depa dah tak pakai tungku lagi ketika sesi masak memasak. Sekarang depa dah guna gas.
Jadi kisah memasak pakai dapur kayu, guna tungku batu, atau cucuh kayu api sebagai bahan bakar, dah tinggal kenangan. Atau lebih tepat lagi dah layak diawet di Muzium Negara buat tontonan.
Pada suatu hari saya pun pergilah kerumah seorang Ustaz yang merupakan anak murid kepada seorang pengamal perubatan Islam yang terkenal di tanah air kita.
Kata orang, Ustaz ni terror dalam bab mengubati penyakit sawan tangis nih.
“Budak lain kalau saya baca doa tadi, dia orang akan tidur. Tapi budak ni makin kuat pulak dia menangis!” komen Ustaz tersebut di celah-celah nyaring suara anak saya yang semakin memperkuatkan volume lalaknya.
Nampaknya Ustaz itu dah surrender. Dia dah pun mengibarkan bendera putih. Ilmu tangis Kakak pula terbukti jauh lebih mantop, sehingga begitu sukar untuk ditangkis.
Saya masih ingat lagi satu kisah, iaitu sewaktu kami sekeluarga balik dari kampong.
Jangan tak tahu, hari itu Kakak bantai menangis bermula dari Ipoh sehinggalah sampai ke Kuala Lumpur!
Isteri saya yang dah tak tahu nak buat apa, turut ikut menangis sama. Saya jadi bertambah pening kepala sebab dah ada 2 orang sedang menangis di dalam kereta.
Selepas habis berpantang, isteri saya perlu bekerja semula. Jadi kami pun menghantar Kakak kerumah jiran untuk dijaga.
Tetapi selalunya ‘jodoh’ Kakak dengan pengasuh-pengasuhnya tidak kekal lama.
Pengasuh pertama cuma dapat bertahan selama sebulan lebih. Yang kedua, 2 minggu. Yang ketiga, seminggu. Dan yang keempat, cuma 2 hari.
Mereka semua tak sanggup untuk menjaga Kakak, kerana anak saya itu terlalu kuat benar menangis sampai depa tak boleh nak buat apa-apa kerja.
Hari itu saya pulang sebentar, iaitu ketika waktu rehat. Saya ingin menjengah keadaan Kakak, di mana hari itu adalah merupakan hari pertama dia dijaga oleh pengasuh terbarunya.
Tiba di rumah pengasuh tersebut, saya amat terperanjat.
Saya amat terperanjat kerana melihat anak saya itu sedang menangis di dalam buai, dalam keadaan sedang dihenjut dengan kasar oleh pengasuhnya, dengan hanya menggunakan ibu jari kaki!
Saya jadi bengang. Saya terus mencempung dan membawa Kakak pulang.
Jadi hari itu, satu rekod baru telah tercipta. Pengasuh Kakak yang kelima itu hanya sempat menjaga anak saya untuk tempoh lebih kurang 6 jam sahaja!
Kasih seorang nenek terhadap seorang cucu, mengatasi segala-galanya.
Apabila emak mertua saya mendapat tahu tentang masalah yang dihadapi, dia pun segera datang kerumah kami.
Orang tua itu pun menjaga makan minum serta melayani karenah Kakak dengan sabar dan kasih sayang, di samping membelai dengan penuh kesempurnaan.
Jarum kehidupan terus berputar di landasan, sekaligus menolak dari angka keangka. Kakak pula semakin dewasa.
Dan alam kedewasaan yang dilalui, menuntut dirinya untuk tidak perlu menangis lagi macam dahulu, atau lebih tepat lagi macam Ahmad Albab.
Apabila bersekolah di Tingkatan 1, Kakak tinggal di asrama. Ketika itulah emak mertua saya ingin balik semula ke Pulau Pinang.
Di Pulau Pinang, beliau jatuh sakit. Selang 4 bulan kemudian, dia pun menghembuskan nafas yang terakhir.
Saya tidak mampu untuk menahan air mata ini dari jatuh berguguran sewaktu menurunkan jasadnya keliang lahat, tempat terakhir dia bersemadi. Bagi saya dialah wanita terhebat, yang pernah saya temui.
Baru-baru ini saya memenuhi jemputan seorang tetangga yang mengadakan majlis doa selamat bertempat dirumahnya.
Di sana saya bertemu dengan seorang wanita berusia dalam lingkungan awal 70an yang merupakan saudara kepada tetangga saya itu.
Entah kenapa saya lihat wanita tersebut seperti sedang memegang tasbih kenangan, yang terlilit di lengan.
Betapa tidak, bentuk fizikalnya, raut wajahnya, tutur katanya serta sikap ramah mesranya segera mengingatkan diri ini kepada arwah emak mertua yang amat saya kasihi.
Sabtu ini kalau tidak ada aral melintang, saya akan ke Sabak Bernam. Saya ingin memenuhi 2 jemputan majlis perkahwinan.
Di sana nanti kalau ada masa, saya akan berkunjung kerumah seorang wanita yang berusia dalam lingkungan awal 70an, yang telah saya temui tempohari.
Saya ingin bertemunya untuk menyambut huluran tasbih kenangan. Saya berharap benar agar tasbih itu masih terlilit di lengan.
Di sana nanti, saya ingin mengalunkan zikir rindu.
Rindu terhadap seorang manusia berhati mulia, yang tiada langsung cacat celanya.

1 comments:
sedih sayu baca entry ni..
mcm mana mertua jaga kakak??tetap jaga wlpn menangis atau pun bila mertua jaga kakak dah x nangis??
Post a Comment