Monday, January 2, 2012

AMBANG TAHUN BARU

Disebabkan 31 Disember adalah merupakan tarikh lahir anak saya, jadi dengan bangganya saya isytiharkan keesokan harinya sebagai cuti umum di Malaysia.

Menariknya cuti umum itu pulak bukan hanya laku kat Malaysia saja, malahan boleh dipakai di seluruh dunia.

Begitulah betapa hebat serta berpengaruhnya akan tarikh kelahiran anak saya.

Sedihnya pada sebelah malam pulak, tak pasal-pasal kita kat Malaysia secara automatik jadi macam orang gila meroyan.

Kemeroyanan itulah yang menjemput kita yang terdiri daripada majoriti orang Melayu, untuk pakat berhimpun kat tempat yang menjadi tumpuan ramai, seperti Dataran Merdeka sebagai contohnya.

Nak tunggu petang beralih kemalam, dan nak tunggu malam beralih ketengah malam tu pulak, bukannya kerja senang. Itu adalah suatu tempoh yang agak lama serta amat memerlukan kesabaran.

Tapi tak mengapalah.

Disebabkan kita masih berpegang kepada konsep bahawa masa itu macam pisang atau gigi yakni semuanya adalah emas, jadi waktu senggang itu tidaklah kita bazirkan begitu sahaja.

Macam yang lepas-lepas jugaklah, kita pun menjemput seberapa ramai artis undangan sebagai penyeri pentas.

Kita pun suruhlah mereka menyanyi lagu, tiap seorang sedas dua. Kita pun bertempik bersoraklah melihat artis-artis itu melolong melalak menyanyi di atas pentas, walaupun kadang-kadang suara depa saling tak tumpah macam ayam tengah mengeram telor hingga menetas.

Tapi kita peduli apa. Rai tetap rai. Itu dah jadi tradisi. Lagi pun kalau tak buat begitu, nanti orang cop kita sebagai jakun pulak.

Kemudian tak kira jantan, betina, tua, atau pun muda, kita pun bertukar rupa. Kita pun jadi macam budak Tadika. Sambil tengok jam besar, kita pun sama-samalah belajar mengira.

Berhimpun sahaja jarum panjang dan jarum pendek kat angka 12, spontan kita pulak yang melolong melalak. Kita pun bertempik bersorak.

Akhir sekali sebagai acara kemuncak, kita pun pakat bakarlah bunga api.

Bakar bunga api adalah acara wajib, Tuan. Tak sah apa kalau sambut tahun baru tak bakar bunga api, Tuan. Tak sah walaupun tak logik, macam hero Hindustan yang walaupun sorang, tapi kalah bertumbuk dengan geng jahat yang datang satu gerabak keretapi, Tuan.

Percikan bunga api yang meledak di udara, juga persis mengisyaratkan bahawa kita sudah berjaya menakluki dunia. Itu juga adalah petanda bahawa sekali lagi kita mampu melengkapi tradisi yang diwarisi sejak turun temurun, walaupun wang rakyat menjadi taruhannya.

Jika dikaji-kaji dengan lebih mendalam, ambang tahun baru yang menjelang setahun sekali telah menjadikan kita sebagai seorang manusia bodoh.

Betapa tidak, untuk apakah segala keraian merepek itu kita lakukan? Dan untuk siapakah pula segala keraian merepek itu kita lakukan?

Apakah semata-mata hanya untuk kepuasan? Atau pun semata-mata hanya untuk suatu penghormatan?

2 comments:

Razman said...

tarikh lahir saya pula 1 syawal, lagi hebat pengaruh, seluruh umat islam sambut. haha.

nasib baik atas tugasan kerja, tahun baru kali ini saya tidak lagi ke genting semata mata untuk melihat bunga api dan memperbodohkan diri.

Fakur said...

selamat tahun baru man. semoga tahun baru ini memberikan anda kesejahteraan, kerahmatan, kemakmuran, dan penghasilan.