Sunday, January 8, 2012

BUDAK SURUHAN

Malam itu saya menonton pertandingan akhir MLM tanpa sebarang nafsu.

Malam itu sekali lagi ramalan saya menjadi kenyataan. Bukannya pasai apa, malam itu saya tengok sekali lagi ada lelaki yang dibapukkan.

Dan malam itu jugak sekali lagi kekurangan fizikal seseorang menjadi bahan lawak untuk sama-sama diketawakan.

Tahniahlah kepada yang menang malam itu.

Kepada yang kalah tu pulak cuba lagilah tahun depan. Jangan susah hati. Anda bukanlah yang terburuk, kerana yang menang sebenarnya bukanlah yang terbaik.

Dan apabila duit hadiah kemenangan itu dikhabarkan akan diguna oleh pemenangnya untuk membaiki teksi yang selama ini menjadi sumber pendapatan bagi menyara keluarga, perasaan ini jadi sedikit tersentuh.

Sememangnya begitulah. Ramai yang senang. Dan ramai yang susah.

Ramai jugak di kalangan kita hanya tahu nak ketawa. Tetapi berapa ramai pulakah di kalangan kita yang berusaha untuk menyingkap rahsia di sebalik rahsia?

Kalau saya tak silap, salah seorang pelawak yang beraksi malam tu pernah menuntut di sebuah sekolah berasrama di Pulau Pinang. Itu kalau saya tak silaplah. Kalau saya tersilap, maafkanlah saya.

Masa belajar di sekolah tersebut, dengar cerita dia selalu kena buli. Sebagai contoh, dia selalu disuruh oleh pelajar senior lelaki untuk pergi berjumpa dengan pelajar perempuan yang lawa sikit sambil berkata :

“Kak, abang tu kirim salam. Dia nak jumpa!”

Dalam bahasa yang mudah, dia selalu dijadikan budak suruhan.

Di sekolah tersebut juga, dia dilantik menjadi presiden persatuan Bahasa Melayu. Tetapi dalam exam, dia kantoi dalam subjek itu. Ha ha ha…

Masa masih bujang, saya pernah tinggal di Seri Rampai. Dia pulak di Setapak Jaya. Saya tinggal dengan kawan-kawan, dia pulak tinggal dengan adiknya.

Kalau ada masa lapang, dia selalu datang melepak di rumah saya. Selalunya dia datang dengan menunggang basikal lumba.

Kadang-kadang tu saya terserempak dengannya di gerai Kak Esah yang terletak di medan selera.

Kalau terserempak dengannya, selalunya saya buat-buat tak nampak. Bukannya apa, naik seganlah pulak. Maklum sajalah dia tengah top waktu itu. Pendek kata, namanya sedang meniti di puncak.

Itu dulu.

Hari ini ramai kawan-kawan sekelasnya yang dulu pernah belajar bersama-sama ataupun yang pernah bergotong royong membulinya, kini sudah jadi orang besar-besar. Ada yang jadi pakar teknokrat, ada yang jadi ahli birokrat, dan ada yang jadi tokoh korporat.

Ada yang memiliki firma sendiri. Tak kurang juga ada pula yang jadi orang penting atau pegawai tinggi kerajaan di sektor awam, yang berperanan mengepalai sesebuah jabatan.

Dan pelajar perempuan yang dulunya lawa, yang dulunya sering dikirimsalamkan, kini dah tak lawa lagi. Walau bagaimanapun dalam ketidaklawaan, sekarang mereka jugak tak kurang hebat. Ada yang jadi pakar teknokrat, ada yang jadi ahli birokrat, dan ada yang jadi tokoh korporat.

Bagaimana tentang dia pula?

Dengan paras rupa yang tidak seberapa, dia memilih untuk terus menjadi seorang pelawak. Lagipun dunia lawak tanah air amat memerlukan seorang pelawak yang memiliki paras rupa yang tidak seberapa, macam dirinya.

Betapa kontotnya pemikiran kita.

Kekontotan itulah yang menolak bab bakat jauh ketepi, kerana paras rupa yang tidak seberapa itulah yang dicari-cari untuk dijadikan sebagai indeks penentu sekaligus memenuhi spesifikasi yang diperlukan bagi mencatat nama sebagai seorang pelawak di Malaysia.

MLM sudah pun berakhir.

Tetapi bagi dirinya pertarungan untuk terus hidup tidak pernah berakhir, malahan tidak akan berakhir. Dan undian SMS atau pun komen juri sama sekali tidak membawa sebarang makna untuk membantu menolak suratan takdir.

Selamat berjaya sahabat!

1 comments:

aku senbei said...

kritikan dan komen yg tidak memberi kesan kpada msa depan