Menerusi akaun facebook miliknya, seorang teman telah bersungut panjang. Teman itu bersungut panjang sambil melahirkan rasa tidak puas hati yang amat sangat.
Tapi sebenarnya dia rasa tidak puas hati tu bukannya pasal apa pun.
Dia rasa tidak puas hati semata-mata kerana pejabat tempat dia bertugas mengadakan kelas agama pada hari Jumaat, yang bermula dari pukul 3.00 sehingga 4.00 petang.
“Kita ni penjawat awam yang dibayar gaji oleh kerajaan dengan menggunakan duit rakyat pembayar cukai. Mengapakah waktu yang sepatutnya kita sedang menjalankan tugas, telah diguna untuk aktiviti lain seperti menghadiri kelas agama? Mana yang lebih penting? Apa pendapat kawan-kawan semua?”
Saya cuma menggelengkan kepala.
“Haru sungguh Minah sekor ni,” bisik saya sendirian sambil membaca satu persatu komen yang diberikan oleh kawan-kawannya.
Benarlah tekaan saya.
Semua kawannya pun macam dia jugaklah, dua kali lima. Semuanya menyokong saja. Tak satu pun yang memberikan pendapat yang berbeza dari sifir dua kali lima, yang sedang mereka baca.
Entah kenapa tiba-tiba saya jadi gatal tangan. Saya terus menongkah arus untuk mengomen beginilah lebih kurang :
“Mak Cik. Kalau kita bershopping kat Globe masa waktu pejabat, tak sorang pun yang bersungut…. Kan kan kan!….”
Saya rasa komen saya itu biarpun membuatkan telinga jadi berdesing, tapi amat berfakta. Bukannya pasal apa, saya teringat kembali ketika masih berkhidmat di sektor awam dulu, yakni di zaman muda-muda.
Waktu dulu kalau hari Jumaat, kakitangan perempuan yang sama brand macam teman saya itu terutamanya, akan melompat sakan.
Ketika kami kaum lelaki belum pun pergi kemasjid untuk bersolat Jumaat, selalunya kebanyakan kakitangan perempuan termasuklah teman saya itu sudah pun selamat mendarat di Globe Silk Store.
Dan acara mingguan yang bersifat marathon yang mereka lakukan itu, selalunya bermula seawal pukul 11 pagi.
Woish… cukup cepat!
Kemudian lebih kurang pukul 3 petang, barulah mereka terhegeh-hegeh masuk semula kepejabat.
Tapi selalunya mereka bukannya balik secara lenggang kangkung atau pun balik dengan tangan yang kosong.
Dengan peluh melekit berbau hapak satu badan, selamba mereka menolak pintu pejabat sambil membawa masuk segala jenis ‘mak nenek’ yang macam-macam ada, seolah-olah semuanya itu taukeh Globe kasi percuma.
Dan sebagaimana yang dijangkakan juga, teman tersebut segera bingkas untuk menyanggah komen perli yang saya buat.
Dia menjawab macam nilah lebih kurang :
“Helo helo… Tu bukan saya ye. Dulu saya orang semekin, mana mampu shopping kat Globe.”
Saya pun tak pasti samada dulu teman saya tu benar-benar semekin sebagaimana yang didakwanya.
Bukannya apa. Orang semekin selalunya makan semekut, tapi yang saya nampak dia selalu bantai nasik dengan tempe.
Dah lama benar saya tak bertemu semula dengannya. Rasa rindu pun ada.
Kalau dulu dia semekin, mungkin sekarang ni dia dah pun kaya raya. Mungkin sekarang dia dah duduk kat rumah banglo yang besar bagak, siap ada kolam renang bersaiz Olimpik di dalamnya.
Samada sekarang dia kaya atau kayap, itu urusan dia. Itu dia punya pasal. Tapi apabila agama dijadikan sebagai alasan, saya rasa cukup kesal.
Mungkin pada benaknya, tempoh selama 1 jam yang dikhaskan untuk menghadiri kuliah agama pada waktu pejabat sebagaimana yang dianjurkan, begitu merbahaya sekali kerana produktiviti boleh terencat, negara kucar kacir serta menjurus ke ambang kemuflisan.
Mungkin baginya juga, pendekatan keagamaan jika ingin diterapkan kedalam diri seorang penjawat awam adalah sebagai tidak penting, atau sekadar membuang masa, atau amat tidak menguntungkan, kerana berperanan menghalang kemajuan kepada mereka.
Atau mungkin juga yang sedang berada di dalam kepalanya ialah : yang lebih penting atau yang lebih berfaedah ialah terus-terusan merapu serta saling berpesan-pesan menerusi laman sosial facebook, tak kira masa, tak kira tempat.
Ini adalah kerana apabila saya menyemak tarikh dan masa beliau berposting, saya dapati dia melakukan aktiviti tersebut pada waktu pejabat!

0 comments:
Post a Comment