Tuesday, January 3, 2012

PETAI & KACANG REBUS

Dalam perjalanan bercuti ke Cameron Highlands, saya singgah di R&R Tapah. Tujuan di hati tu nak berhenti sebentar untuk mengisi perut.

Pagi itu orang sungguh ramai di R&R tersebut. Maklum sajalah waktu tu musim cuti sekolah.

Keluar dari bilik air, langkah saya terhenti sebaik melintasi sebuah gerai yang menjual kacang rebus. Saya pun mendekati kearah longgokan kacang rebus yang kelihatan masih berasap itu.

“Dik. Kasi kacang rebus RM5,” pinta saya kepada pembantu gerai di situ yang merupakan seorang remaja lelaki.

“RM5 tak jual,” kata remaja tersebut kepada saya.

Dalam keadaan yang agak terperanjat, saya pun bertanya kembali kepadanya :

“Habis, berapa ringgit yang jual?”

“Tuuu…” sampuknya pantas sambil memuncungkan mulutnya kearah sekeping kertas yang dipancang.

Saya pun membacalah catatan yang tertulis di atas kepingan kertas itu :

250gm = RM3 500gm = RM6

Saya cepat-cepat menggaru kepala yang tak gatal.

Mungkin remaja tersebut tidak mahu melayani permintaan saya kerana dia terlalu ‘ikut buku.’ Atau mungkin juga dia malas berfikir kerana lemah dalam matematik.

Balik dari Cameron Highlands, saya berhenti pula untuk membeli petai yang dijual di pinggir jalan menghala ke Tapah.

Di sebuah gerai milik orang asli, saya membelek petai-petai yang digantung pada palang kayu.

“Ni kak, berapa harga satu ikat ni?” soal saya kepada wanita yang kelihatan sedang mengelek seorang bayi kecilnya.

Dia adalah pemilik gerai tersebut. Saya berani berkata begitu kerana tidak ada orang lain selain dirinya di situ.

“Saploh ringgit,” katanya ringkas.

“Mahai jugak. Nampak macam muda lagi petai ni,” bisik saya kepada isteri yang turut sama sibuk memilih.

Akhirnya saya beli juga seikat. Saya beli dengan harga RM8.

Dan sewaktu hentak menuju semula kekereta, saya terdengar wanita tersebut bersungut :

“Petai nak tuo. Pompuan nak mudo…."

5 comments:

umie_ina said...

Pandai akak org asli tu... hehehehe....

Selamat tahun baru Tuan Fakur...

Fakur said...

umie :
dia mungkin dah buat kajian kot.

selamat tahun baru buat puan juga.

kipas koyak said...

haha.....terkena dgn org asli...selamat tahun baru

cikpia said...

hik hik..... pandai orang aslibuat perbandingan.....

Fakur said...

kipas :
selamat datang & selamat tahun baru kpd anda juga cik kipas. selamat bukan hanya masa tahun baru saja tapi tahun2 lain jugak ok.

cikpia :
ya, perbandingan berdasarkan pengalaman.